|
Memandangkan ada masalah mengenai ayahku yang tinggal sendirian di rumah, aku dengan berat hati menyuruh ayah pulang ke Perlis. Di Perlis iaitu di rumahku ada anak saudaraku yang merupakan ibu tunggal tinggal dan menjaga rumahku. Di sini pada mulanya anak saudara suamiku menemani ayah. Orang, maklum sajalah, berapa hari dia mahu menolong. Bukannya ada sangkutan dengan ayahku. Ayah pulang dengan kereta api ke Arau pada jam 2 pagi Ahad. Ketika ayah datang ke hospital sebelum pulang, aku menyalami ayah sambil menangis teresak2. Tak sanggup nak berpisah dengannya. Bagiku, ayah adalah segala-galanya. Suka-dukaku, tersimpan di lubuk sanubarinya. Semasa di kampung, ayah ada menghubungiku melalui telefon dengan bantuan kawan baikku. Rupa-rupanya di kampung ayah menderita. Anak saudaraku yang merupakan cucu ayah tidak pernah mempedulikan makan minum ayah. Ayah terpaksa keluar membeli makanannya sendirian. Aku benar-benar geram dan menelefon anak saudaraku. Banyak juga kata-kata pedas yang keluar dari mulutku. Siapa tak geram, aku dah benarkan dia tinggal dalam rumah tu dengan percuma. Segala kelengkapan ada. Baik aku sewa kalau begitu sikapnya. Ingatkan senanglah kalau sesiapa nak balik kampung dan bermalam di situ. Ayah juga turut bercerita bahawa dia menemui ‘benda’ di dalam kasut suamiku. Dia meminta aku berhati-hati. Bimbang terkena. Ada orang berniat tidak baik terhadap suamiku. Kata ayah, ada lagi ‘benda’ di dalam rumah itu. Ayahku merupakan seorang bomoh tetapi aku jarang mempromosinya. Jika ada orang tahu tu, taulah. Mendengar pesanan ayah itu membuatkan aku jadi takut. Setelah hampir dua minggu di hospital suamiku dibenarkan pulang. Aku pula yang sakit. Jalan pun dah herot. Kaki kiriku terpaksa heret. Bengkak semacam aje uratnya. Aku tidak boleh tidur di atas simen tetapi di hospital, itulah tempat yang boleh merehatkan badanku yang penat dan menghilangkan kantukku. Hanya dengan mengalas kain, aku tidur di atas lantai wad bersebelahan katil suami. Begitulah ketika aku menjaga arwah emakku dan ayahku. Kini giliran suamiku pula. Paling teruk ketika aku hendak berjalan ke kantin, rasa macam nak jatuh sahaja kerana kaki kiri terlalu sakit. Pernah aku tidak dapat ke kantin. Nasib baik tengah hari itu aku dapat makanan percuma di wad. Hatiku selalu menangis ketika itu kerana rasa menderita. Di sinilah aku selalu berdoa agar suamiku tidak berubah hati suatu hari nanti. Jika dia hendak berubah, kenangkan pengorbanan aku yang bukan sedikit. Umpama menyeksa diri untuk menyenangkan insan lain. Di rumah, setiap hari suamiku pergi mencuci kakinya di klinik dengan bantuan anak saudaranya. Dua minggu selepas itu suamiku dimasukkan ke wad semula. Luka di kakinya ditampal dengan kulit pahanya. Doktor yang merawat agak hairan. Biasanya orang yang terkena penyakit kencing manis, dagingnya lambat tumbuh semula selepas daging busuk dibuang. Tetapi suamiku hanya dalam masa dua minggu sudah elok dagingnya dan boleh ditampal. Ramai yang berkata, ada sesuatu yang tidak kena terjadi kepada suami. Apatah lagi dalam keluarga suami ada perselisihan faham tentang geran tanah. Aku tidak ambil peduli kerana itu masalah mereka. Apa yang aku tahu, tapak rumah dan kebun kelapa sawit adalah nama suamiku. Ayahnya yang beri semasa hayatnya. Anak kakaknya ada masalah hutang bank tidak dapat diselesaikan dan meminta emaknya (kakak suami) meminjam geran tanah untuk dicagar kepada bank. Pasti saja suamiku tidak bersetuju. Bimbang tanah tergadai dan dia terpaksa merempat. Suamiku hanya tiga hari di wad. Macam biasa, aku setia di sisinya. Dua minggu di rumah, dia ke hospital semula. Kali ini tidak ditahan di wad lagi. Aku segera menelefon ke kampung dan meminta ayah datang pada petang tersebut juga. Dah terlalu sakit hatiku dengar cerita tentang anak saudaraku. Aku bercadang akan menyewa rumah tersebut selepas ayah pulang ke sini. Aku terus bertanyakan ayah tentang ‘benda’ yang dia temui di dalam kasut bot tinggi paras lutut kepunyaan suamiku. Kebetulan kasut itulah yang terakhir suamiku pakai sebelum dia terlantar sakit. Dia memakainya untuk ke sungai menjala ikan. Aku ada menegurnya, buat apa dia pakai kasut tu. Ayah menunjukkan benda tersebut yang sudah keras. Kain putih yang bersalut tanag kubur, rasanya kain kapan orang meninggal dunia dan dicucuk dengan tujuh bilah jarum. Ayah ada menunjuk kepada kawannya di kampungku yang juga seorang bomoh. Menurut kawannya, silap hari bulan, orang yang terkena benda tersebut boleh meninggal dunia. Selang beberapa hari, suamiku menemui satu lagi benda di bilik air. Aku memang dah sebut awal-awal agar mencari benda yang satu lagi di dalam bilik air. Setiap kali masuk bilik air, aku rasa sejuk dan seram semacam sahaja. Benda tersebut ialah buah nibung yang sudah kering. Menurut ayah, buah nibung bertujuan untuk menjadi anggota reput. Buah itu terselit di tempat yang memang tidak perasan. Ayah bertanya kalau-kalau di sekitar rumah suamiku ada pokok tersebut. Menurut suamiku, pokok tersebut tiada melainkan di tepi sungai. Begitulah ceritanya. Kini barang-barang itu sudah dikembalikan kepada yang punya angkara. Bukan hendak membalas tetapi ingin tahu siapa punya kerja. Dia hantar biarlah dia terima semula. Kawan-kawan, doakanlah keselamatan untuk kami bertiga. Selepas ini entah apa lagi yang terpaksa aku tempuhi. |
| Leave a Comment: |