|
2 Jun 2006 Pagi yang sungguh menyedihkan bagi aku. Awal pagi Arman sudahpun mengejutkan aku. Dia ajak aku berbual sambil menikmati sarapan. Ayahku pula seperti memahami, membiarkan kami bersarapan bersama. Aku sering menyapu air mata. Entah kenapa, tak sanggup nak berjauhan dengan dia. Lambatnya menanti tarikh 18 Jun untuk aku ke sana. Arman menyapu titisan air mataku. Maklumlah sudah beberapa hari dia berada di rumahku, terasa sayang untuk berpisah seketika. Tepat jam 10.30 pagi, Arman bersedia untuk pulang. Dia menghulurkan RM 50 untuk aku simpan atau gunakan. Berat untuk aku mengambilnya memandangkan sudah begitu banyak wang yang dihabiskan Arman ketiak berada di rumahku. Arman memasukkan wang kertas tersebut ke dalam genggaman tangan yang berisi tisu renyuk buat menyapu air mata. Arman menemui ayah yang sedang berbual dengan rakannya di ruang tamu untuk memberitahu dia hendak pulang. Ayah bertanyakan bila dia akan datang lagi. Aku ketika itu menunggu Arman di luar rumah berdekatan dengan motosikalnya sambil memegang beg pakaiannya dan bungkusan beriri kek dan puding yang kukirim untuk emaknya. Ketika berbual tadi Arman berpesan agar aku jangan menangis di hadapannya ketika dia hendak memulakan perjalanan. Aku tidak mampu. Air mataku terlalu ramah dan murah. Sempat aku tatap mata Arman yang sudah mula menghidupkan enjin. Matanya juga merah. Aku memerhati Arman berlalu sehingga hilang dari penglihatan. Semasa keluar dari halam rumahku, Arman melambaikan tangannya. Aku berlari masuk ke dalam rumah. Masuk ke dalam bilik dan menguncikan pintu. Sambil membaringkan tubuh di atas tilam, aku menangis semahu-mahunya. Aku akan rasa sepi dan kekosongan tanpa Arman yang menjadi teman bicaraku. Sampai bila aku akan diamuk dan dicengkam kesepian dalam hidup? Setiap kali tiba di tempat perhentian, Arman akan mengirim SMS atau menelefonku. Aku tidur-tidur ayam sehingga jam 1 tengah hari sambil sesekali ditemani SMs dan panggilan telefon daripada Arman. Bila bangun, aku dapati mataku bengkak. Jam 5 petang aku menerima SMs daripada Arman yang sudah selamat sampai ke rumahnya. Barulah hatiku ini lega. Aku beritau ayah tentang hal tersebut. Malamnya ketika aku mengadap komputer, aku dengar di ruang tamu bising dengan suara ayah bertingkah dengan suara wanita dan seorang lelaki muda yang kedengaran dialeknya seperti orang Siam. Suara wanita itu sedikit garang. Mukanya aku sangka Mak Ndak yang datang memprotes hubungan aku dengan Arman. Aku mengendap. Bukan. Wanita yang mengendalikan kedai makan di kampungku yang juga berhutang dengan ayah datang dengan seorang pekerja lelakinya. Mereka bertengkar entah pasal apa di rumahku. Malas aku nak ambik tahu lalu masuk semula ke dalam bilik. Apabila sunyi sepi, aku keluar semula bertanyakan ayah hendak makan nasi atau tidak. Ayah kata masih kenyang. Beberapa ketika aku dengar suara lelaki muda tadi bersama suara perempuan yang lebih lembut. Aku segera keluar untuk melihat. Perempuan muda yang sebayaku itu juga pernah bekerja di kedai makan tersebut tetapi sudah berhenti dan bekerja di tempat lain. Dia datang bersama beg besar ke rumahku. Katanya dia sudah berhen kerja di tempat barunya. Dia meminta izin dari ayah untuk menjadi orang gaji di rumahku. Ayah terus saja bersetuju. Ayah memang selalu berbual dengan kedua-dua mereka itu kerana ayah merupakan pelanggan tetap di kedai tersebut. Aku menyuruh dia tidur di bilik sakit yang asalnya stor tetapi sudah kemas. Aku memberikan dia toto sebagai alasa tidur, dua biji bantal dan selimut. Dia terus saja melakukan kerja-kerjanya. Si lelaki itu pula minta nak bermalam di rumahku. Dia memilih untuk tidur di atas sofa di ruang tamu. Setelah siap memasak dia memnggil kami semua makan. Aku mula berkenalan dengan si lelaki dan perempuan yang bernama Mat dan Ti itu. Mat berasal dari Kota Kinabalu Sabah sementara Ti orang Pendang Kedah. Menetap di Langkawi selepas berkahwin. Dan kini menjadi janja anak empat. Suaminya berkahwin lain. Selesai makan nasi kami berehat di ruang tamu. Hatiku mula jengkel melihat perangai mereka berdua. Mat meminta Ti mengurut badannya yang lenguh-lenguh. Mulutku seakan ringan sahaja mahu menegur. Tetapi aku tahankan. Hasrat untuk mengambil dia bekerja di rumahku mula aku batalkan dalam diam. Apatah lagi setelah melihat dia mengeluarkan sekotak rokok dan pemetik api. Melihat perempuan muda seperti itu merokok sudah hilang rasa hormatku. Aku menjeling ayah sekilas sebagai isyarat mengajak ayah masuk ke dalam biliknya. Di dalam bilik ayah aku pura-pura mencari kain selimut untuk Mat sambil bertanyakan ayah. Lalu aku katakan kepada ayah, aku tak suka mereka tu. Ayah hanya diam. Aku tau ayah juga terkejut di samping rasa serba salah kerana mempelawa mereka bermalam di rumah. Malam itu aku terus tutup komputer dan tidur dengan hati yang jengkel. Tidur sementara menanti Arman menelefonku tepat jam 2 pagi. ZZZ... |
| Leave a Comment: |