Sesiapa yang melawat blog ini sila catatkan nama, nombor masuk anda yang tertera di sini dan alamat emel. Mana tau anda bakal memenangi sesuatu di sini.Terima kasih.






Entri Baru










Mentari Muncul Lagi Fatin yang telah lama merantau mengambil keputusan untuk tidak merantau lagi. Dalam meniti zaman remajanya, Fatin terperangkap dengan cinta bersama Hafiz pemuda dari Sabah. Malah untuk mengelak dari menjadi buah mulut orang kampung mereka telah mengikat tali pertunangan. Impian untuk hidup bersama punah apabila rahsia Hafiz terbongkar walaupun Hafiz cuba pertahankannya. Berjayakah Fatin melupakan Hafiz? Sanggupkah Hafiz melepaskan Fatin?




Gambar ketika membaca sajak di malam Anugerah Esastera.com bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed


Monday, June 12, 2006
SAJAK TERSIAR DI DALAM BERITA HARIAN 11.6.06

MENGGONCANG POHON KEDAMAIAN

 

Menggoncang pohon kedamaian berterusan

merasai panjang sedemikian bangga

itu kualiti kita sendirian.

 

Perkataan kita dosa-dosa besar

menggoncang pohon kedamaian rasa

terlintas fikiran sihat manusia

ketakwaan hilang lebih mahal

menarik benar kecintaan bertandang.

 

Kelebihan keresahan kehidupan syumul

terbukti masih menampung hari

dari menggoncang pohon kedamaian

nikmat beroleh menghadapi nasib

supaya hati sedekah keikhlasan

bukan golongan berpengaruh lagi

menerima serba terbuka rasanya

kufur akhirat benak kebuluran

menjadi makanan nyawa itu.

 

-Saleha Ahmad,

Persinggahan Pelangi, Perlis.

25 Mei 2006.


Posted at 5:16:36 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Saturday, June 10, 2006
Selamat Hari Lahir Saleha!

1 Jun 2006

Hari ini genaplah usiaku 36 tahun. Syukurlah nyawaku masih dipinjamkan untuk melewati usia ini. Aku tidak pernah merahsiakan usiaku. Kerana bagiku usia hanyalah kombinasi angka. Yang menentukan muda atau tuanya kita bergantung kepada cara kita menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Pagi ini aku bangun awal. Cadang nak bakar kek awal pagi tadi tidak jadi kerana terlalu mengantuk dan letih. Pagi ini aku tau, aku terlalu sibuk. Banyak kerja yang perlu aku uruskan sebelum bermulanya jamuan selepas Asar nanti. Pagi-pagi lagi Arman sudahpun mencari kayu api di belakang rumah. Dia mahu merebus kuah sup. Siap kerjanya, Arman mengajak aku ke Pauh membeli mihun. Selain mihun banyak lagi benda lain yang perlu aku beli. Kami singgah di rumah rakanku, Surita yang lebih mesra aku panggil Mak Njang. Mak Njang yang kehilangan kaki kirinya paras lutut dan hanya menggunakan kaki palsu tidak pernah mengalah dalam kehidupan ini. Tetap lincah dan cergas melakukan apa sahaja. Aku mengaguminya. Sesungguhnya aku senang berkawan dengan mereka yang terdiri daripada orang kurang upaya.

Aku meminjam loyang kek bersaiz empat segi besar untuk membakar kek Coklat Popi. Sebelum datang tadi aku sudahpun membakar kek buah. Di rumah anak Mak Ndakku membantu mengemas apa-apa yang patut. Selepas membeli mihun dan barang-barang lain di pekan pauh, kami singgah makan nasi di kedai anak jiranku di pekan tersebut. Aku juga membeli nasi bungkus untuk ayah. Tengah hari nanti memang aku tak sempat memasak. Sebenarnya masih ada lagi barang yang perlu dibeli tetapi tiada di situ. Pulang dari pauh aku mengajak Arman ke pekan Kodiang pula. Arman tidak membantah.

Tiba di rumah setelah pulang dari Pauh, aku lihat Mak Njang datang dan berbual dengan ayah di luar. Katanya, dia datang nak tengok kek yang aku buat. Dia sangka aku sudah pulang dari Pauh. Memandangkan kami yang tergesa-gesa hendak ke Kodiang kerana mengejar masa, dia meminta diri untuk pulang.

Selepas membeli barang di Kodiang, kami pulang. Aku mengajak Arman singgah di rumah Kak Yang, rakan baikku. Kak yang tiada di rumah. Kami terus pulang.

Di rumah Arman mula sibuk dengan kuah supnya. Aku pula menyediakan puding gula merah dan kek coklat popi. Dalam keadaan begitu ayah pula mahu mengajak Arman ke klinik arau untuk appoinmentnya setiap bulan dengan doktor. Aku mula gelabah takut kuah sup tak sempat siap. Ayah merajuk di dalam biliknya. Arman masuk dan memujuk ayah. Meminta untuk melihat buku yang tercatat tarikh appointment tersebut. Ayah diminta ke klinik jam 2 petang. Arman memujuk ayah ajak pergi jam 1.45 nanti. Arman janji padaku yang kuah tersebut sempat dia siapkan.

Keluarga Arman yang datang dari perak ke Padang Besar. Mereka tidak ajak kami kerana tau kami sibuk. Kawan Arman di sana yang menanti membawa mereka berjalan-jalan.

Petangnya mereka pulang ke rumah ketika aku sedang menyiapkan meja hidangan di ruang tamu. Mereka ikut membantu. Rakan-rakanku seorang demi seorang datang membantu. Setelah jam 5 petang, semakin ramai jiran dan rakan-rakan lelaki juga perempuan datang. Aku merima ucapan selamat hari lahir yang tidak putus-putus. Namun berbahang juga telingaku bila ada sindiran jiran-jiran yang bermulut laser tentang Arman. Mereka yang tidak tahu apa-apa menyangka Arman mungkin sudah beristeri. Mereka kata, peristiwa lama akan berulang lagi. Tetapi setelah aku perkenalan kakak dan abang Arman yang ada bersama, mereka terdiam.

Apa yang tidak dapat aku lupakan ialah ucapan rakan sekolahku Anita ketika bersalaman hendak pulang. “Selamat hari lahir. Selamat pengantin baru.” Sempat aku menampar lengan Anita yang ketawa terbahak-bahak kerana dapat mengenakan aku saat itu. Arman hanya tersenyum melihat telatah kami.

Selepas Maghrib, keluarga Arman pulang ke Perak. Arman membantu aku mengemas rumah yang berselerak dengan gelas dan mangkuk polistrin. Malam itu masih ada tetamu iaitu ketua wartawan Bernama dan rakan-rakanku. Malam itu walaupun letih aku tidur lewat. Aku ingin berbual dengan Arman sepuasnya kerana esok kami akan berpisah. Arman akan pulang ke Sungai Siput.

Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada Arman kerana membantu aku menjayakan majlis tersebut. Kalau tanpa Arman tak mungkin dapat aku lakukan sendirian seperti beberapa tahun lalu. Ketika itu aku sihat dan cergas. Jauh berbeza kini kerana sudah dimamah usia.


Posted at 11:37:54 pm by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Wednesday, June 07, 2006
KEJUTAN LAGI...

 31 Mei 2006

Sinar suria pagi ini ceria. Tiada mendung atau gerimis. Aku berharap agar kehidupanku juga kembali ceria. Selepas bersarapan ala kadar, aku dan Arman keluar ke pasar sehari di pekan Arau untuk membeli bahan-bahan membuat mihun sup untuk jamuan esok. Yang aku hairan, kenapa Arman membeli banyak barang-barang lain yang tiada kaitan dengan mihun sup. Hampir penuh sepuluh jariku dengan beg plastik. Aku hanya benarkan Arman membawa sedikit sahaja bungkusan plastik. Kesian pulak kerana jarinya hanya ada sebelah iaitu di sebelah kiri. Tangan kanannya hanya setakat pergelangan sahaja. Putus terkena bom ikan ketika berusia 17 tahun. Namun aku tidak nampak sebarang kekurangan kepada dia. Aku kagum ketangkasannya melakukan kerja seperti orang yang sempurna. Malah sanggup datang dengan motosikal dari Sungai Siput Perak.

Selesai membeli semua keperluan dan makanan, kami pulang. Arman mengajak aku singgah minum di kedai makan depan Balai Bomba Arau. Aku menelefon sahabat baikku Normanisah, kalau-kalau dia ingin memesan cendol pulut. Dia minta aku belikan dua bungkus. Kami hanya makan cendol biasa. Ketika pulang kami singgah di rumah Normanisah untuk menghantar cendol pulut dan berbual seketika. Semasa hendak keluar dari rumah Normanisah, Arman tiba-tiba meletakkan lengannya di atas bahuku sambil berjalan. Dia menjeling ke arah Normanisah. Dia memang suka bergurau.

Balik di rumah Arman kelam kabut memasak. Dia minta untuk menyediakan hidangan tengah hari. Gulai rebung dengan ayam, sayur siput mentarang dengan rebung, ikan kembung goreng, sambal belacan campur durian dan ulam salad. Aku hairan melihat banyak pulak kuantiti setiap makanan yang disediakan. Bukan untuk tiga orang makan. Selepas Zohor dua buah kereta masuk ke halaman rumah. Salah sebuahnya aku kenal. Itu adalah kereta kawannya yang bekerja polis di Padang besar. Tetapi sebuah lagi kereta siapa? Arman menyuruh aku menyambut abang dan dua kakaknya yang datang dari Perak. Turut bersama seorang anak saudaranya yang hampir sebayaku. Sempat aku menjeling geram kepada Arman. Maklumlah aku menyambut tetamu dalam keadaan yang tidak bersedia. Muka berpeluh, rambut pun tak bertudung.

Selepas tetamu masuk barulah aku kelam kabut bersiap dan menukar pakaian. Memakai pakaian yang lebih sopan. Kami bersama-sama menjamu selera. Selepas itu barulah mereka beritahu kedatangan mereka untuk merisik aku. Aku tersenyum gembira. Usik mengusik pun mulalah kedengaran. Aku meminta mereka bermalam di rumahku. Mereka setuju. Cuma kawan Arman sahaja yang balik ke Padang Besar. Waktu petang aku memasak kuah durian untuk dimakan dengan pulut kukus.

Selepas makan malam, aku dan Arman sibuk di dapur merebus daging dan tulang. Pukul 2 pagi baru tidur. Tetamu dari Perak tidur awal di dalam bilik sakit yang kubuat stor tetapi telah dikemaskan oleh Arman. Semoga jodohku dengan Arman berkekalan dan dialah menjadi peneman hidupku meniti usia tua.


Posted at 12:21:31 am by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Monday, June 05, 2006
Pengakuan Dari Hati

30 Mei 2006.

Kira-kira jam 1.50 pagi aku masih belum tidur. Tiba-tiba isyarat SMS masuk bertanyakan aku dah tidur ke belum. Aku segera menjawab belum tidur dan meminta Arman menghubungi aku. Sebentar kemudian Arman menghubungi aku dan memberitahu dia berada di atas jambatan di Megat Dewa Kedah. Mataku yang tadinya kuyu terus lebar terbuka. Percaya atau tidak bermain-main di minda. Mungkin Arman mau bergurau dengan aku. Katanya setengah jam lagi dia akan sampai di rumahku. Dia menyuruh aku memasak nasi kerana dia membawa kari kambing yang dibelinya. Aklu memang sudah lama teringin hendak makan daging kambing. Sejak berbadan dua lagi. Aku masih tertanya-tanya dan berada di persimpangan antara percaya dengan tidak. Menurut Arman, kalau percaya masaklah nasi. Kalau tak percaya jangan masak. Dia masih bergurau. Akhirnya aku rasa yakin lalu terus memasak nasi. Setengah jam kemudian aku mendengar bunyi motosikal masuk ke halaman rumah. Ternyata aku tidak bermimpi. Kata arman, dia buat kejutan sempena nak menyambut hari lahirku. Selepas makan nasi, kami berbual sehingga jam 6 pagi. Maklumlah untuk melepas rindu yang terkurung sekian waktu. Selepas solat Subuh, Arman tidur di dalam bilik ayah manakala aku tidur di dalam bilik komputer.

Pukul 9.30 pagi aku terdengar bunyi isyarat telefon berbunyi. Arman mengejutkan aku supaya bangun. Kami rancang hendak ke pasar. Malangnya di luar gerimis mencurah-curah. Selepas Zohorgerimis berhenti, aku dan Arman ke Arau. Aku mengeluarkan sejumlah wang untuk membuat jamuan nanti. Kemudian kami membeli lauk untuk makan tengah hari. Arman mengajak aku singgah makan laksa dan cendol pulut di gerai makan depan balai bomba Arau. Perutku tiba-tiba meragam. Aku ajak Arman balik ke rumah dahulu sebelum ke Kodiang seperti yang dirancang awalnya.

Kemudiannya kami ke Kodiang. Sebelum singgah di supermarket aku mengajak Arman meronda di sekitar kawasan pasar malam kalau-kalau durian dah sampai. Malam nanti ada pasar malam di situ. Biasanya durian akan sampai awal. Nasib kami baik. Arman membeli dua biji durian. Kami bercadang hendak makan dengan pulut kukus pagi esoknya sebagai sarapan. Kemudian berlalu ke supermarket pula. Aku mahu membeli barang-barang keperluan untuk dapur. Tiba-tiba terjumpa dengan rakan sekolah. Hampir 20 tahun tidak berjumpa. Aku yang tegur dia. Sharifah Hafisah tidak begitu mengenali aku. Dia kata aku jauh berubah dari dulu. Dulu gemuk tapi sekarang slim sangat. Lama kami berbual dan saling bertukar nombor telefon. Dia sempat menjeling Arman di sebelahku. Pastinya dia menyangka Arman itu suamiku. Setelah siap membeli barang, kami pulang ke rumah.

Aku menyediakan hidangan lauk tunjuk untuk makan tengah hari (petang). Arman menyuruh aku tumbuk sambal belacan. Sambal belacan yang kutumbuk dicampur dengan isi durian. Fuh! Sedaonya. Pertama kali aku makan. Sayangnya tak ada ulam tetapi licin juga.

Kenyang makan, Arman tidur di atas sofa manakala aku masuk tidur di dalam bilik komputer. Hampir Maghrib kami bangun. Seperti biasa Armanlah yang akan menjadi tukang kejutkan aku dengan menelefon.

Selepas solat Maghrib kami bersiap-siap untuk keluar. Arman berjanji untuk membawa aku makan seafood di Kuala Perlis. Malam itu dia akan belanja aku makan apa yang aku teringin. Kami keluar dengan motosikal setelah meinta izin dari ayah. Sebelum itu kami ke kangar untuk membeli bahan-bahan membuat kek. Malangnya kedai menjual bahan membuat kek tutup awal. Kami terus ke Kuala Perlis.

Arman memilih tempat makan di tepi laut. Dia memilih menu sotong digoreng celup tepung cicah sos, tom yam udang dan ikan siakap stim. Kami makan dengan berselera sekali dengan ditemani angin laut yang membelai. RM39 milik Arman terbang malam itu. Kami bercadang untuk pulang awal. Keluar dari situ, Arman membawa aku bersiar di tepi laut dengan motosikal. Terdapat ramai belangkas di situ. Begitulah keadaan di situ biarpun bukan malam minggu. Kami bercadang untuk berhenti di situ selama setengah jam. Sambil menggenggam jari-jemariku dan menatap anak mataku Arman bertanya adakah aku sedia menerima dia sebagai calon suami. Dengan jujurnya aku mengaku bersedia menerimanya sebagai calon suami. Kemudian dia juga mengaku bahawa dia bersedia mengambil aku sebagai isterinya. Ya Allah perkenankan permintaan dan rancangan hamba-Mu ini. Anugerahkan aku kebahagiaan yang hilang sekain lama.


Posted at 2:02:05 am by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Sunday, June 04, 2006
Resah Dalam Rindu

29 Mei 2006.

Hari ini aku rasa macam tak mau tidur siang. Mata mengantuk tetapi entahlah. Aku jadi terlalu rindu kepada Arman (singkatan Abdul Rahman Shamsudin). Kalau boleh aku nak ajak dia berSMS sepuasnya. Malam tadi aku kurang tidur. Seperti malam-malam lain, Arman akan menghubungi aku sehingga kredit RM10 habis. Sejam lebih kami berbual setiap malam. Tetapi malam ini entahlah dapat atau tidak Arman menelefonku kerana dia ada urusan di Ipoh. Malam ini dia tidak bekerja. Arman meminta izin kepada aku untuk menghabiskan siang hari untuk tidur. Dia takut mengantuk pada malam nanti. Dengan berat hati aku membenarkan. Maka sepilah aku tanpa SMS. Pukul 8 malam Arman mengirim SMS memberitahu yang dia akan keluar dari rumah untuk ke Ipoh. Kemudiannya pukul 8.30 dia memberitahu berada di kedai sate kawannya. Dia bertanyakan aku nak makan sate atau daging kambing, dia nak tolong makan. Dia mahu bergurau dengan aku. Aku kata makanlah kedua-duanya. Aku memberitahu dia yang aku nak tidur awal. Kalau dia ada masa dan ingin menelefon aku, silakanlah. Biasanya jam 12 lebih dia akan menelefon aku. Aku tidak dapat melelapkan mata sampai jam 12 tengah malam. Tiba-tiba... bersambung pada tarikh 30 Mei pula...


Posted at 12:00:25 am by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Monday, May 29, 2006
BERSYUKURLAH...

Petang ini anak saudara yang berusia lebih beberapa tahun dari aku datang ke rumah. Dia baru balik dari port Dickson iaitu tempat dia tinggal sekarang. Balik ke kampung bersama anak-anak tetapi tanpa suaminya. Suaminya sedang berkursus. Dia merupakan satu-satunya anak saudara yang mengambil berat kebajikan aku dan ayah. Lama kami bersembang. “Kilah bercerai di Siam dulu macam mana?” tanyaku kepada Ila mengenai adiknya yang sama nasibnya seperti diriku. Berkahwin di sempadan kemudian ditinggalkan suami ketika sedang sarat. Kini sudah 13 tahun kejadian itu menimpa Kilah. “Cu Kar bawa pi sana. Dapat surat cerai dari imam sana.” Terlalu mudah aku dengar penjelasan Ila. “Mak cik nak bertunang selepas masalah ni selesai,” beritahuku tanpa berselindung lagi. Ila terkejut. Lalu aku jelaskan siapakah lelaki yang bakal menjadi tunanganku. Ila menyuruh aku bersegera ke sempadan sana untuk menguruskan perceraian. Tidak perlu mengunakan wang banyak seperti yang dijelaskan oleh salah seorang pegawai dari jabatan agama. Apabila ada surat cerai, semasa hendak bernikah nanti aku hanya tunjukkan surat tersebut kepada imam sebagai bukti aku janda. Syukurlah. Aku rasa terlalu ringan penangungan yang aku tanggung selama ini. Aku menanti bakal tunangku datang pada hari Rabu nanti. Kami akan membincangkan hal tersebut bersama ayah. Kawan-kawan yang membaca nukuilan ini, aku tidak pernah merahsiakan suatu apa pun dari kalian. Doakanlah agar kebahagiaan mampu aku raih untuk menikmati sisa-sisa kehidupan ini. Aku ingin mengucap selamat tinggal penderitaan. Aku ingin bebaskan diri dari sangkar penderitaan. Sudah terlalu jerih aku terkurung di dalamnya sekian waktu. Anak saudaraku turut gembira. Dia mahu aku berkahwin sementara ayah masih ada. Jika ayah sudah tiada, tidak dapat dia bayangkan bagaimana kehidupan aku sendirian. Luahnya penuh pengharapan.

 


Posted at 5:37:30 am by Saleha_Ahmad
Comments (2)  

Thursday, May 25, 2006
MENEMUI BAHAGIA...

Apa yang indahnya hari ini? Aku sudah mampu mengorak sedikit senyum lega. Aku sudahpun selesai mengerjakan sujud syukur kepada Allah SWT kerana telah mempermudahkan urusan untuk seorang hambaNya ini. Masalah yang sudah setengah tahun aku tanggung akan berakhir bila-bila masa sahaja. Jalan penyelesaiannya sudah terbentang di hadapanku. Mungkin semua itu berkat kesabaranku mendepani ujian Tuhan. Juga dengan kekuatan yang disalurkan oleh rakan-rakan.

 

Apa yang cukup membahagiakan aku apabila diriku bebas sepenuhnya dari lelaki yang pernah bergelar suamiku. Dia yang selama ini berniat untuk melihat aku sengsara dan menderita ternyata tidak kesampaian. Aku tetap mempamer senyum di mana jua berada. Hukuman yang diberikannya tidak dapat mengubah pendirianku. Aku tetap aku yang tidak mahu berubah. Aku bersyukur menjadi aku yang dulu kini dan pasti selamanya. Biarpun di mana aku berada, aku tetap begini.

 

Aku mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Abang Arman kerana banyak membantu aku. Datang ke sini sebulan dua kali untuk menyelesaikan masalahku. Malah bersama-sama mencari jalan. Kini aku lihat ayah semakin sihat dan dapat tidur lena kerana masalah anaknya tidak lagi meberatkan benaknya mengisi malam-malam sepinya. Semoga aku dipertemukan dengan jalan bahagia. Aku ingin mengatur langkah menuju ke arah kehidupan baru persis insan lain. Itulah impian dan harapanku.


Posted at 9:58:51 am by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Sunday, May 21, 2006
Guru Dalam Kenangan

Hari guru baru saja berlalu. Terkenang aku kepada guru-guru sekolah rendah dahulu. Cikgu Sham (arwah) mengajar aku semasa darjah 1. garangnya bukan main lagi. Dia ajar aku tulis nombor tiga sampai jadi. Untuk buat nombor tuga sahaja buku kotak-kotak aku sampai berlubang asyik silap dan padam dengan pemadam. Susah betul nak tulis nombor tiga. Tapi bila dah menjadi, nombor tiga akulah yang paling cantik. Berkat balik belajar di rumah. Habis dinding dan lantai menjadi papan hitamku. Emaklah tukang cuci.

 

Semasa darjah lima, aku benci sangat kat cingu yang sorang tu. Tak payahlah aku sebut nama dia. Takut juga ada suku-sakat dia yang terbaca pulak. Rotan memang menjadi teman dia mengajar kami. Dia mengajar ilmu hisab. Hari Khamis diadakan congak. Kalau ada yang tak faham apa itu congak, boleh tanya selepas ini. Malas aku nak terang dengan terperinci. Dia biasanya memberi 10 soalan. Kalau salah 1 berbiratlah punggung dirotannya. Kalau lebih dari satu tak tau nak cakaplah. Aku dengan kawan-kawan akhirnya bermesyuarat dan berbincang. Kami memankai seluar lebih dari sehelai untuk mengurangkan sakit. Ada seorang pelajar lelaki telah memasukkan buku ke dalam seluarnya sebagai pelapik. Tetapi cikgu itu dapat mengesannya ketika merotan. Cikgu tersebut merotan di paha pula.

 

Tapi seorang guru yang mengajar sejarah semasa aku darjah 5 cukup baik hati terhadap aku seorang la. Cikgu Ismail Puteh. Sampai sekarang kalau dia nampak aku, dia masih kenal dan ingat. Apabila dia bagi seolan, kalau salah kena berdiri. Salah juga di round kedua kena berdiri di atas kerusi. Salah lagi berdiri di atas meja. Salaj juga, angkat kaki sebelah. Tapi saya kalau jawab salah pun dia suruh duduk. Tu sebab saya sayang kat cikgu tu.

 

Seorang lagi guru kesayangan saya ialah cikgu Osman yang mengajar dan menjadi guru darjah 6A. Saya cukup minat cara dia mengajar semua subjek. Mudah faham. Dia selalu bergurau dengan kami. Pernah dia kata kat saya semasa hendak ke klinik gigi. Ketika itu ada seorang jururawat datang menjemput kami lima orang untuk ke klinik bagi memeriksa gigi. Cikgu Osman sempat mengusik, kat saleha ni bubuh gigi kerbau. Seisi kelas ketawakan saya. Selepas dia bertukar sebelum sempat saya habis darjah enam, nak belajar pun rasa rak seronok lagi. Cikgu yang ganti ni tidak setara cikgu tu.

 

Begitulah kenangan guru semasa sekolah rendah.


Posted at 10:48:23 am by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Thursday, May 18, 2006
BELIA @ BELIAK

Hari belia baru saja berlalu. Sebut perkataan belia m,engingatkan aku pada sebuah kenangan. Waktu tu aku berusia 13 tahun. Pada satu hari kampungku menerima anak angkat yang terdiri dari beliawan dan beliawanis dari seluruh negeri Perlis. Ramai penduduk kampungku yang rumah mereka cantik mengambil anak angkat lelaki dan perempuan. Aku mulanya menyuruh mak dan ayahku ambik tetapi mak kata rumah kami buruk dan tak sesuai. Bilik pun tak ada. Begitu juga dengan bilik air. Tak sama dengan rumah orang lain yang ambik anak angkat. Aku diam saja setelah memikirkan kebenaran kata-kata mak tu. Ketika majlis penyerahan anak angkat itu, aku dengan mak hadir. Ramai orang kampung berkumpul di situ. Anak saudaraku yang sebaya denganku, Kilah memberitahu mak dan ayahnya ambik anak angkat lelaki dan perempuan. Dia kelihatan begitu girang. Aku buat muka selamba saja. Ketika diumumkan penyerahan anak angkat, hanya anak angkat perempuan sahaja diberi kepada setiap keluarga yang memohon. Anak angkat lelaki akan tinggal di rumah orang yang paling tua di kampungku. Rumahnya yang besar dan berkembar dua serta mempunyai semua cucu-cucu lelaki memang sesuai sekali. Aku sudah tidak ingat berapa hari kami berkumpul makan dan memasak di situ. Aku ni hanya tukang makan sahaja. Mak dan wanita kampung yang sibuk memasak itu ini. Bahan untuk dimasak disediakan oleh pihak penganjur. Memang mewah makanan untuk empat waktu makan. Selepas penyerahan anak angkat, aku ikut Kilah ke rumahnya untuk berkenalan dengan kakak angkatnya. Aku ni tergolong dalam kategori peramah. Sebelum ni aku dah jumpa anak-anak angkat jiran-jiranku termasuk yang sebelah rumah abangku itu. Cantik dan manis orangnya. Tetapi anak angkat abangku ini bolehlah aku katakan setakat boleh tahan. Sku ni mulut laser sikit. Aku sebutlah yang ank angkat si anu tu cantik, anak angkat dia tu lawa. Kak iparku jeling kepadaku. Kilah memekup mulut aku dengan tapak tangannya takut didengar kakak angkatnya yang berada di tingkat atas rumah mereka. Ketika para belia itu sibuk menanam bawang sebagai projek belia masuk kampung, aku sempat mengintai seorang belia lelaki. Memang tampan habis. Wajah dia macam penyanyi kesayangan aku waktu itu, Othman Hamzah. Nama dia yang aku risik-risik ialah Anuar. Ada seorang beliawanis kampungku iaitu anak jiranku tergila-gilakan dia. Tak pasti pula dapat respons ke tidak. Aku ni siapalah yang hendak. Waktu tu masih comot lagi. Tak pandai nak bersiap. Pakai liptik patah yang kak ipar aku bagi tu pun calit melepasi bibir. Rambut pula masih bertocang dua. Sebelah mata pun orang tak nak pandang. Waktu majlis perpisahan aku tengok semua menangis kesedihan untuk berpisah dengan keluarga angkat masing-masing. Kebanyakan anak-anak angkat itu masih berhubung dan saling kunjung-mengunjungi keluarga angkat masing-masing. Malah ada yang tersangkut menjadi menantu atau berkahwin dengan saudara-mara. Sepupu anak angkat abangku telah berkahwin dengan adik ipar lelaki abangku. Kini Kak Ilah yang menjadi anak angkat abangku telah dijemput Ilahi dengan meninggalkan 5 orang anak. Manakala lelaki tampan yang bernama Anuar pula telah bertemu jodoh dengan rakan baikku, Kak Yang. Mereka bertemu jodoh bukan kerana kenal semasa aktiviti belia tetapi melalui perkenalan orang tua. Namun Anuar sudah lama menghembuskan nafas terakhir akibat menderita penyakit barah otak. Kak Yang masih sendirian hingga sekarang. Hanya tiga tahun mereka bersama. Beberapa tahun lepas ada kawan-kawan perempuan meminta aku menubuhkan persatuan belia di kampung memandangkan banyak peluang yang akan diberikan jabatan belia. Aku mulanya memang berhasrat tetapi beberapa suara belia lelaki membuatkan semangat aku patah. Hendak tubuh memang senang tetapi hendak menguruskan dan menjayakan projek terlalu sukar. Apatah lagi aku seorang perempuan. Ada yang kata, mula-mula belia lepas tu beliak...<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" /><o:p></o:p></STRONG></FONT></FONT></SPAN></P>

Posted at 8:09:27 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Tuesday, May 16, 2006
UNTUKMU IBU

Tanggal 16 Oktober 1993, Saat alam hening melalui dinihari, Puan Ajar Ismail telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dialah ibu yang kukasihi. Dialah ibu ratu hatiku dan menjadi idola bagiku. 5 tahun ibu terlantar sakit akibat lumpuh sebelah kanan badan. Hospital merupakan rumah kedua ibu dan aku. Paling lama mendiami di wad ialah sebulan. Sebulan jugalah aku berada di sisi ibu. Tidur dan makanku tidak terjaga. Ada ketikanya terhoyong-hayang seperti orang mabuk kerana tidak cukup tidur. Namun apalah sangat pengorban seorang anak jika dibandingkan pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertarung nyawa melahirkan aku dan kemudian membesarkan aku sehingga menjadi seperti aku hari ini. Malah kesetiaan ayah menemani ibu sepanjang tempoh ibu terlantar sakit cukup mengharukan hatiku. Saat aku keluar mencari rezeki, tugas ayah pula menjaga ibu sehingga aku pulang. Biarpun kehidupan kami saat itu sarat dengan penderitaan namun kami adalah keluarga bahagia. Namun untuk menjaga seorang ibu yang berpenyakit seperti itu bukanlah sesuatu yang mudah. Sudah banyak air mata aku telan demi menyembunyikan perasaan hati. Hanya kesabaran mengiringi perjalanan rasa. Mana tidaknya, lambat menambah nasi ke dalam pinggan, ibu akan membaling pinggan. Lambat mengambil pakaiannya untuk dibasuh, akan dibaling sesuaka hati. Lambat membersihkan najisnya, habis lantai dan katil dicomotnya. Hatinya hanya membisik sabar, sabar dan sabar. Aku sedar, ibu sendiri pun tidak berniat untuk berbuat begitu. Ibu terlalu geram dengan penderitaan yang ditanggungnya. Dia tidak berdaya dan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Kadang-kadang sedang aku sibuk didapur, aku dapati ibu sudah berada di atas lantai. Aku tidak tahu macam mana dia boleh turun dari atas katil yang setinggi buku lali itu. Waktu aku atau menjaganya, tidak pulak dia berbuat begitu. Malah nak bergerak pun tidak berdaya. Ketika itulah akan ada jiran atau saudara-mara datang. Maka hunjaman kata-kata dan tuduhan mereka singgah dipendengaranku. Kononnya aku tak reti nak jaga ibu. Aku membiarkan ibu tidur di atas lantai. Semuanya aku telan sebagai penawar. Tak apalah hari ini hari aku. Malah ada emak saudara marahkan aku kerana bekerja. Aku kata, aku terpaksa bekerja. Jika tidak pakaianku tak bersalin. Apalah ayah mampu dengan hasil sayurnya selain untuk membeli makanan untuk kami dan rawatan untuk ibu. Abang-abangku dan kakak-kakak iparku datang sekali-sekala. Mereka jijik untuk duduk di dalam rumahku. Apalagi untuk makan makanan atau minum segelas air di rumahku. Terasa hina amat. Malah pernah aku meminta abang sulungku yang tinggal tidak jauh dari rumah agar datang pagi dan petang untuk mengangkat ibu ke tempat mandi yang bersebelahan katilnya. Aku tidak berdaya kerana badanku dah habis sakit. Mula-mula dia datang lepas itu tidak lagi. Takkan hendak aku biarkan ibu tanpa mandi sedangkan ketika sihatnya awal pagi ibu sudah pun mandi. Maka aku angkat sendiri. Tiba-tiba tulang pinggang sebelah kiriku meletup. Terus ibu yang kuangkat terlepas. Ibu jatuh terhenyak. Aku menangis saat itu kerana kesiankan ibu dan memohon maaf. Aku dah tak boleh nak buat apa-apa melainkan memanggil jiran membantu. Ayahku pula ketika itu terlibat dalam kemalangan dan keadaan urat dan tulangnya masih tak stabil. Namun semuanya berakhir pada tanggal itu. Malam itu abang sulungku dan abang keduaku pulang. Hanya abang ketikaku yang tidak pulang walaupun berkali-kali aku menelefon pada siangnya memberitahu ibu sudah nazak. Aku menggunakan telefon di rumah jiran. Akhirnya jiran itu melarang aku dari menelefon abangku itu. Bukan dia tidak tahu ibu sakit, sepatutnya sekali diberitau terus pulang. Malam itu aku rasa terlalu mengantuk. Kebetulan mak cik dan tok cik ku berada di situ. Mereka menyuruh aku tidur kerana nampak aku letih amat. Aku tidur di tepi ibu. Tiba-tiba mak cik kejutkan ibu. Minta aku halalkan air susu ibu. Waktu itu abang keduaku pulang kerana siangnya dia akan bekerja. Aku lihat tangan kiri ibu yang lumpuh bergerak. Aku capai tangan itu walaupun agak hairan. Aku cium dahi ibu sambil menahan sendu. Aku bisikkan syahadah ke telinga ibu. Namun ibu masih seperti tidak lepas. Mak Cik suruh abang sulung mendekati ibu. Abang berjanji akan bertanggungjawab dan menjaga aku. Begitu juga ayah. Setelah itu baru aku lihat nafas ibu berombak-ombak perlahan dan diam. Saat itu setitis air mataku tidak mengalir lagi. Aku reda. Aku sebenarnya sudah tidak sanggup melihat penderitaan ibu selama aku menjaganya dan minggu terakhir sebelum dia pergi. Hanya aku yang mengerti tentang penderitaannya kerana aku sentiasa di sisinya. Melihatnya sendiri bagaimana seksanya dia hendak menelan makanan. Terbatuk-batuk setiap kali minum air. Terpaksa diajar seperti kanak-kanak baru belajar makan dan minum. Pulang dari pusara, hampir dua minggu aku dan ayah tidak dapat makan nasi di rumah. Setiap kali hidang nasi, bersedia untuk makan, rasa tidak tertelan.

Ibu, semoga rohmu damai di sana di sisi orang-orang yang beriman. Di bawah limpah rahmat Ilahi. Biarpun kita semakin jauh dijarak masa, namun dirimu tetap hangat danm subur di dalam ingat seorang anak ini.


Posted at 4:40:09 pm by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Previous Page Next Page