Ada orang kata aku sombong? Benarkah? Aku tanya pada diri aku sendiri berkali-kali. Jika aku seorang yang sombong tentu aku tak akan ingat dan berusaha mencari kemudian berhubung dengan kawan-kawan sekelas sejak darjah satu dahulu. Jika aku seorang yang sombong, tentu aku tidak berbuat demikian terhadap rakan-rakan yang mula-mula aku temui ketika pertama kali menjejaki alam pekerjaan. Orang sombong tidak mempunyai kawan yang kekal. Itu tafsiran aku. Tak taulah jika ada orang lain dengan tafsiran mereka sendiri. Jika orang yang kata aku sombong itu tidak puas hati, dia boleh menghubungi kaw2an-kawan aku itu. Aku ni peliksedikit, kalau orang dah kata aku sombong, aku akan buat muka sombong kepada orang yang kata itu. Kita buat baik, orang kata gitu juga, jadi apa maknanya kebaikan kita. Seingat aku, hatiku tak pernah berubah. 30 tahun yang lalu hidup aku sekadar cukup makan bersama keluargaku. Tetapi kini ayah sudah mampu membina sebuah rumah dengan lengkap. Ada orang sebut banglo tapi aku tak mahu sebut macam tu, takut riak pula. Rumah itu adalah hasil rekaan dan cita rasa aku. Plan yang aku lukis sendiri. Begitu juga dengan cat dan jenis mozek,. aku yang pilih. Aku cukup berpuas hati dengan rumah empat bilik itu. Dua bilik tidur, Satu bilik kerja/bacaan dan satu bilik sakit yang aku jadikan stor untuk sementara. Terdapat tiga bilik air iaitu di bilikku, bilik sakit dan bersebelahan dapur. Dapur pula siap dengan almari kabinet pasang siap. Setiap ruang tergantung kipas siling dan kipas dingin. Memang mewah pada mata yang memandang. Aku tetap aku walaupun banyak pujian menyatakan rumahku cantik dan besar menerobos masuk ke lubang telingaku. Aku selalu berdoa kepada Tuhan agar tidak menjadikan aku manusia takbur. Kawan-kawan tetap silih berkunjung ke rumahku seperti rumah yang buruk sebelum ini. Sombongkah aku dengan kehidupan di rumah baru? Kini rumah itu aku tinggalkan. Langkah kakiku tidak teragak-agak untuk berlalu. Aku tidak kembali menoleh sewaktu beredar dari halaman. Tiada apa yang hendak aku sayang pada harta yang bersifat tidak kekal. Semua itu dipinjamkan oleh Allah. Aku telah ditakdirkan untuk duduk seketika sahaja. Kini sudah empat bulan lebih aku tidak lagi nampak rumah itu. Jauh di mata dan jauh di hati. Aku kini tinggal di sebuah rumah seperti rumah lamaku dulu. Letaklah aku di tempat seperti mana pun, insya-Allah aku boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Pernah suamiku bertanya, macam mana tiba-tiba kehidupan kita jadi susah. Aku jawab, aku tak akan cepat melatah. Aku sudah siapkan diri sejak remaja lagi. Aku pernah membuka warung menjual makanan dan membuat kuih jualan yang diletak di kedai-kedai di kampungku. Aku bersyukur dengan kesederhanaan yang Tuhan kurniakan kepadaku. Sombongkah aku?