Orang Gaji Aduhai Orang Gaji
3 Jun 2006
Aku bangun macam biasa. Tadi selesai solat Subuh dan menanti terbitnya matahari di celahan bukit nun di hadapan rumahku, aku kembali tidur. Malaikat rahmat pastinya sudah selesai menjalankan tugas-tugasnya menghantar rezeki untuk hari ini. Jam 9 pagi aku bangun. Malam tadi aku sudah berpesan kepada Ti agar memasak mihun goreng jadi tak payahlah ayah keluar membeli sarapan seperti selalu. Ti bersetuju. Keluar sahaja dari dalam bilikku yang berhadapan dengan ruang tamu, aku lihat lantai rumahku bersih disapu. Ruang tamu kelihatan kemas. Langsir diikat kemas ke tepi manakala background dibiarkan sahaja. Seperti selalu kulakukan. Tingkap juga sudah terbuka. Aku berpuas hati.
Aku masuk ke dalam bilikku dan terus ke bilik mandi. Aku berangan-angan hendak makan mihun goreng sebentar lagi. Perutku sudah mula berkeroncong. Selesai mengemaskan diri, aku keluar dan berlalu ke dapur. Ya Allah. Di atas meja makan berselerak dengan kertas pembungkus makanan dan pinggan kotor. Cawan minuman juga di sana sini. Aduh, ada orang gaji apa macam ni. Di dalam sinki pun masih ada pinggan yang belum dicuci. Mulutku terasa ringan sahaja untuk menegur. Namun kelibat ti tidak kelihatan.
Aku mengetuk pintu bilik sakit tempat Ti tidur. Kemudian aku menolak pintu yang tidak berkunci. Ti kelihatan tidur terlentang sambil asyik merokok. Aku mengipas-ngipas hidung kerana tidak tahan dengan asap rokok yang menerpa ke arahku. Lantas kututup pintu dengan muka yang mencuka. Mihun goreng tak ada jadi aku bersarapan dengan roti kering saja.
Aku terus berkurung di dalam bilik komputer. Sengaja aku nak tengok adakah Ti akan menyediakan masakan tengah hari. Jam 12 lebih Ti mengetuk pintu bilikku mengajak makan. Melihatkan ayam masak kicap seperti malam tadi, terus seleraku hilang. Aku masak sendiri apa yang aku teringin nak makan.
Ti meminta untuk meminjam telefon bimbitku. Aku katakan kredit tak banyak. Mat datang. Ti meminjam telefon Mat. Dia menelefon seseorang di Langkawi. Dia menyatakan mahu ke langkawi mengambil anak-anaknya yang berada di bawah jagaan bekas madunya. Bekas suaminya sudah tiga bulan berada di dalam penjara. Aku mulai bimbang. Macam mana kalau dia datang bawa anak-anaknya empat orang dan menumpang di rumahku. Tidak dapat kubayangkan tunggang-langgang rumahku ini jadinya.
Lalu aku mencadangkan agar dia mencari kerja lain terlebih dahulu. Kemudian cari rumah sewa. Akhirnya balik ambik anak-anaknya. Di rumahku, aku tidak perlukan orang gaji. Lagipun bukan senang urusan nak tukar sekolah anak-anaknya yang sedang bersekolah. Namun nasihatku tidak didengarinya. Mat penyokong cadanganku. Dia tetap berdegil hendak balik ke langkawi.
Dengan RM50 dia mahu pulang ke Langkawi? Dia minta untuk pinjam RM100 dari ayah. Ayah tak bagi. Kemudian dia minta nak pinjam RM50. Aku juga cakap tak ada duit. Dia pulang dengan beberapa helai pakaian sahaja. Beg pakaiannya yang besar ditinggalkan di rumahku.
Selepas dia keluar, aku berpesan kepada ayah. Lain kali jangan mudah kesiankan orang dan ajak orang datang bermalam di rumah. Sebenarnya aku juga mewarisi sifat ayah. Cuma sejak aku mengenali Arman, aku jadi berubah. Aku pernah menyuarakan kepada Arman bahawa aku ingin berubah dari sikap mudah simpati dan bersangka baik kepada orang. Kini aku sudah pun berubah.
Posted at 9:03:12 pm by
Saleha_Ahmad