Sesiapa yang melawat blog ini sila catatkan nama, nombor masuk anda yang tertera di sini dan alamat emel. Mana tau anda bakal memenangi sesuatu di sini.Terima kasih.






Entri Baru










Mentari Muncul Lagi Fatin yang telah lama merantau mengambil keputusan untuk tidak merantau lagi. Dalam meniti zaman remajanya, Fatin terperangkap dengan cinta bersama Hafiz pemuda dari Sabah. Malah untuk mengelak dari menjadi buah mulut orang kampung mereka telah mengikat tali pertunangan. Impian untuk hidup bersama punah apabila rahsia Hafiz terbongkar walaupun Hafiz cuba pertahankannya. Berjayakah Fatin melupakan Hafiz? Sanggupkah Hafiz melepaskan Fatin?




Gambar ketika membaca sajak di malam Anugerah Esastera.com bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Sunday, January 28, 2007
Novel Popular & Komik

Rata-rata golongan sasterawan atau pemerhati sastera bercakap tentang novel popular. Ada yang bersetuju dan mengalu-alukan kedatangan novel popular di pasaran. Tidak kurang juga yang menolaknya sama sekali dengan alasan-alasan yang boleh diterimapakai. Bagaimana pula dengan komik? Tidakkah kita melihat secara terang-terangan bahawa komik yang berada di pasaran mencemarkan bahasa? Komik digemari golongan kanak-kanak juga awal remaja. Tidakkah ini membimbangkan kita dari segi penggunaan bahasa kanak-kanak tersebut?

   Saya pernah hadir ke sebuah pesta buku. Apa yang membuatkan hati saya tersentuh, gerai buku ilmiah, novel dan majalah sunyi sepi. Kelihatan jurujual atau penjaganya yang berjalan ke hulu ke hilir. Manakala di gerai komik dan majalah kartun begitu ramai kanak-kanak yang ditemani ibu bapa dan guru-guru. Bukan sahaja mereka memilih komik untuk dibeli, malah turut mengambil tandatangan pelukis dan penulis komik serta bergambar.

   Dalam hal ini kepada siapa hendak kita halakan muncung kesalahan? Dari sini kita sudah nampak bahawa dari awal mereka sudah didedahkan dengan majalah ringan, jadi apabila dewasa kelak mereka mencari buku atau novel yang ringan dan santai. Sebaliknya jika dari zaman tersebut diberi bahan bacaan ilmiah atau berasaskan pengetahuan, pasti apabila dewasa mereka terdorong ke arah itu.

   Sama-samalah kita fikir dan renungkan.


Posted at 2:59:32 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Wednesday, January 24, 2007
Saat Sarat Kelahiran.

Baru-baru ini aku ada membaca berita di dalam akhbar tentang seorang mangsa banjir di Johor yang bersalin dengan mengikut arahan doktor melalui telefon. Dia tidak dapat dibawa ke hospital kerana jalan terputus akibat banjir. Lantas memoriku kembali ke tarikh 19.12.05. Aku telah melalui pengalaman tersebut sendirian. Tanpa bantuan doktor melalui telefon. Terlalu perit dan fobia sampai ke saat ini.

   Hujan turun sudah tiga hari tidak berhenti-henti. sekejap lebat dan sekejap renyai-renyai. Jiran-jiranku mula kalut kerana air dah mula masuk ke dalam rumah mereka. Rumah aku nasib baiklah aku tambak tanah setinggi tiga kaki untuk mengelak kejadian seperti itulah. Aku tidak selesa tidur di dalam bilik. Aku bentangkan tilam nipis di ruang tamu. Aku terasa sakit bahagiang pinggang dan punggung seperti hendak datang bulan. Kadang-kadang sekali-sekali dan kadang-kadang ia kerap. Kandunganku baru hendak mencecah tujuh bulan. Tiba-tiba keluar lendir jernih. Aku tanyakan anak saudaraku yang sudah ada pengalaman melahirkan anak. Dia kata mungkin lendir biasa sahaja sebab aku tidak sihat. Hari berikutnya ada darah keluar bersama lendir. Aku semakin sakin. Namun bayi di dalam kandungan masih aktif bergerak. Aku mengadu sakit kepada ayah. Ayah lantas memberitahu jiran-jiranku. Dalam kalut banjir itu beberapa orang jiran datang menziarah aku. mereka menasihatkan aku ke hospital. Aku menghubungi hospital tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Tiada jalan yang boleh dilalui.

   Ada jiran mencadangkan agar aku minum air kelapa agar bayiku cergas. Aku mengikut sahaja kerana sudah tidak berdaya. Malam itu sakitku makin menjadi-jadi. Sekejap baring, kemudian bangun. Begitulah berulang kali aku lakukan. tepat jam 12 tengah malam aku rasa tidak selesa. Aku terasa hendak buang air. Aku masuk ke bilik air bilikku. Aku tidak menutup pintu bilikku dan bilik air. Rasa tidak sedap hati. Ayahku ketika itu berbaring di atas sofa di ruang tamu. Aku memilih untuk tidak mencangkuk di lubang tandas sebaliknya di atas lantai sahaja. Tiba-tiba terasa ada benda keras keluar. Ya Allah. Benda apa ni? Aku terus menjerit sambil emnangis. nafasku tersekat. Aku berbaring di dalam bilik air. Ayah menerpa ke arahku. Aku minta ayah ambikkan bantal. Aku tidak tahu hendak buat apa. Aku terlalu takut. Aku suruh ayah panggil jiran tapi ayah tidak sanggup nak tinggalkan aku seorang diri. Aku meminta ayah ambikkan telefon bimbitku. terus aku menelefon kawan baikku yang berselang tiga buah rumah dengan rumahku.

   Kawanku datang dengan anak sulungnya. Melihat keadaan aku, dia tidak berani buat apa-apa. Katanya kaki dan punggung bayiku dah keluar. Ya Allah aku beranak songsang. Kawanku pergi memanggil beberapa orang jiran yang lebih tua. Mereka datang tetapi tidak berbuat apa-apa. Salah seorang jiranku terpaksa meredah banjir dengan keretanya untuk mengambil jururawat desa. Awal malam tadi berkali-kali aku menelefon jururawat tersebut tetapi tiada jawapan.

   Jururawat ter5sebut datang. Melihat keadaan aku yang terlalu letih membuatkan dia cemas. Dia tidak ada pengalaman melihat orang melahirkan anak seperti aku. Cuba menghubungi pihak hospital tetapi jawapan yang sama diperolehi. Jalan terputus. Hendak tidak hendak aku terpaksa meneruskan juga untuk mengeluarkan anakkuk yang sudah tidak bernyawa. Ketika sampai bahagian perut, lama juga terhenti. Kemudian tersangkut di bahunya pula. Aku terlalu letih untuk berjuang. Sakitnya tidak dapat kubayangkan. Aku seperti akan menutup mata buat selama-lamanya. Sempat aku minta ayah masuk untuk meminta maaf dan halal. Sampai ke bahagian kepala sekali lagi tersangkut. Di situ paling lama kerana aku sudah seperti kain buruk. Aku dengar jiran dan jururawat menyebut anakku lelaki telah cukup sifat dan comel pula tu. Hidungnya mancung. Aku kuatkan semangat untuk melihat wajhanya. Tepat pukul 2.30 pagi semuanya selesai. Uri keluar dengan elok tetapi telah hancur. Ketika itu pihak bomba menelefon untuk datang mengambilku ke hospital tetapi jururawat memberitahu semuanya sudah selesai. Pagi itu aku tidur di sisi bayiku yang tidak bernyawa. Aku redha biarpun hati menangis siapa tahu.

   Idealis Irfan tidak sempat melihat dunia. pengalaman itu benar-benar membuat aku takut setelah aku berkahwin kali kedua. nasib baik suamiku yang ini faham. Ketika mengandung, sudahlah mengalami keretakan rumah tangga, aku juga mengidap berbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, masalah protein dalam air kencing, darah kurang. Berminggu-minggu dirawat di wad. berat badan ketika mengandung pula semakin menurun kerana aku terlalu banyak memikirkan masalah kehidupan sehingga mengabaikan makan minum.

   Jika anakku masih hidup tentu dia tidak dapat kasih sayang dari seorang ayah sendiri. Terpaksa menumpang orang lain untuk dianggap ayah. Tuhan dah beri yang terbaik untuk aku sebagai hamba-Nya.

Semuanya tak mudah aku lupakan. Tetap segar di ingatan sampai bila-bila.


Posted at 9:06:11 am by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Saturday, January 20, 2007
Sombongkah Aku

Ada orang kata aku sombong? Benarkah? Aku tanya pada diri aku sendiri berkali-kali. Jika aku seorang yang sombong tentu aku tak akan ingat dan berusaha mencari kemudian berhubung dengan kawan-kawan sekelas sejak darjah satu dahulu. Jika aku seorang yang sombong, tentu aku tidak berbuat demikian terhadap rakan-rakan yang mula-mula aku temui ketika pertama kali menjejaki alam pekerjaan. Orang sombong tidak mempunyai kawan yang kekal. Itu tafsiran aku. Tak taulah jika ada orang lain dengan tafsiran mereka sendiri. Jika orang yang kata aku sombong itu tidak puas hati, dia boleh menghubungi kaw2an-kawan aku itu. Aku ni peliksedikit, kalau orang dah kata aku sombong, aku akan buat muka sombong kepada orang yang kata itu. Kita buat baik, orang kata gitu juga, jadi apa maknanya kebaikan kita. Seingat aku, hatiku tak pernah berubah. 30 tahun yang lalu hidup aku sekadar cukup makan bersama keluargaku. Tetapi kini ayah sudah mampu membina sebuah rumah dengan lengkap. Ada orang sebut banglo tapi aku tak mahu sebut macam tu, takut riak pula. Rumah itu adalah hasil rekaan dan cita rasa aku. Plan yang aku lukis sendiri. Begitu juga dengan cat dan jenis mozek,. aku yang pilih. Aku cukup berpuas hati dengan rumah empat bilik itu. Dua bilik tidur, Satu bilik kerja/bacaan dan satu bilik sakit yang aku jadikan stor untuk sementara. Terdapat tiga bilik air iaitu di bilikku, bilik sakit dan bersebelahan dapur. Dapur pula siap dengan almari kabinet pasang siap. Setiap ruang tergantung kipas siling dan kipas dingin. Memang mewah pada mata yang memandang. Aku tetap aku walaupun banyak pujian menyatakan rumahku cantik dan besar menerobos masuk ke lubang telingaku. Aku selalu berdoa kepada Tuhan agar tidak menjadikan aku manusia takbur. Kawan-kawan tetap silih berkunjung ke rumahku seperti rumah yang buruk sebelum ini. Sombongkah aku dengan kehidupan di rumah baru? Kini rumah itu aku tinggalkan. Langkah kakiku tidak teragak-agak untuk berlalu. Aku tidak kembali menoleh sewaktu beredar dari halaman. Tiada apa yang hendak aku sayang pada harta yang bersifat tidak kekal. Semua itu dipinjamkan oleh Allah. Aku telah ditakdirkan untuk duduk seketika sahaja. Kini sudah empat bulan lebih aku tidak lagi nampak rumah itu. Jauh di mata dan jauh di hati. Aku kini tinggal di sebuah rumah seperti rumah lamaku dulu. Letaklah aku di tempat seperti mana pun, insya-Allah aku boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Pernah suamiku bertanya, macam mana tiba-tiba kehidupan kita jadi susah. Aku jawab, aku tak akan cepat melatah. Aku sudah siapkan diri sejak remaja lagi. Aku pernah membuka warung menjual makanan dan membuat kuih jualan yang diletak di kedai-kedai di kampungku. Aku bersyukur dengan kesederhanaan yang Tuhan kurniakan kepadaku. Sombongkah aku?

Posted at 1:07:29 pm by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Wednesday, January 17, 2007
Melentur Buluh

   Ada ketikanya terselit rasa kesal melihat masyarakat hari ini yang masih alpa. Yang uban sudah putih di kepala masih gah bergaya dengan seluar jeans dan melepak di kedai-kedai kopi tanpa mengira waktu, termasuk waktu Maghrib. Jika yang tua begitu sikapnya, apalagi dengan yang muda.

   Cuba kita bayangkan terhadap sebuah keluarga yang sederhana baik dari segi kehidupan mahupun bilangan ahlinya. Jika si ayah masih berlagak muda, lalai dari segi agama kerana terbawa-bawa dari zaman mudanya. Zaman mudanya seorang kaki mabuk, perahsuah dan kaki judi. Anak-anak pula tahu kisah zaman muda si ayah. Ibu pula sibuk mencari reze4ki kerana mendapat suami malas dan hanya menjadikan isteri sebagai hamba. isteri tidak ada masa untuk beribadat atau mengajar anak-anak perihal agama kalaupun dia asalnya datang dari keluarga yang ada pegangan agama yang agak kuat.

   Apa akan jadi dengan keluarga ini? Itu hanya satu keluarga yang kita lihat. Tapi saya yakin di sekitar kita bukan satu keluarga yang begitu. Banyak. Apa yang sedihnya, bila mana anak jauh terlanjur sehingga menconteng arang ke muka ibu bapa seperti berzina, menagih dadah, merompak atau kaki gaduh, mulut si ayah dan ibu terkunci rapat untuk memberi nasihat atau membetulkan keadaan. mereka takut segala kesalahan dihadapkan kepada mereka semula sebagai orang tua.

   Jadi kita sebagai generasi muda, fikir-fikirkanlah. Jangan sampai hilang hormat anak kepada kita. Bukan senang untuk melentur buluh kalau tidak dari rebungnya. Tetapi cuba kita renung pada zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabatnya yang dilentur ketika sudah menjadi buluh. Tidak mudah patah, sebalik taksub dengan ketaatan kepada agama tanpa berbelah bahagi. Mungkin ada sesetengah pihak berkata, "Ah, itu zaman Nabi. Apa-apa pun boleh terjadi." Sebenarnya sama sahaja zaman siapapun kerana kita semua adalah manusia yang punya hati dan nafsu.

   Dunia semakin uzur. Bimbang esok mentari yang dinanti terbit sebelah timur muncul sebaliknya. Pasti kita terlambat sudah. Catatan ini bukan sahaja mengingatkan diri pembaca, rakan-rakan dan sebagainya tetapi untuk diri saya juga. Sama-samalah kita berpesan dan mengingatkan diri kita dan insan-insan yang kita sayang.


Posted at 9:19:32 am by Saleha_Ahmad
Comment (1)  

Friday, January 12, 2007
Diuji Lagi II

            Memandangkan ada masalah mengenai ayahku yang tinggal sendirian di rumah, aku dengan berat hati menyuruh ayah pulang ke Perlis. Di Perlis iaitu di rumahku ada anak saudaraku yang merupakan ibu tunggal tinggal dan menjaga rumahku. Di sini pada mulanya anak saudara suamiku menemani ayah. Orang, maklum sajalah, berapa hari dia mahu menolong. Bukannya ada sangkutan dengan ayahku. Ayah pulang dengan kereta api ke Arau pada jam 2 pagi Ahad. Ketika ayah datang ke hospital sebelum pulang, aku menyalami ayah sambil menangis teresak2. Tak sanggup nak berpisah dengannya. Bagiku, ayah adalah segala-galanya. Suka-dukaku, tersimpan di lubuk sanubarinya.

            Semasa di kampung, ayah ada menghubungiku melalui telefon dengan bantuan kawan baikku. Rupa-rupanya di kampung ayah menderita. Anak saudaraku yang merupakan cucu ayah tidak pernah mempedulikan makan minum ayah. Ayah terpaksa keluar membeli makanannya sendirian. Aku benar-benar geram dan menelefon anak saudaraku. Banyak juga kata-kata pedas yang keluar dari mulutku. Siapa tak geram, aku dah benarkan dia tinggal dalam rumah tu dengan percuma. Segala kelengkapan ada. Baik aku sewa kalau begitu sikapnya. Ingatkan senanglah kalau sesiapa nak balik kampung dan bermalam di situ.

            Ayah juga turut bercerita bahawa dia menemui ‘benda’ di dalam kasut suamiku. Dia meminta aku berhati-hati. Bimbang terkena. Ada orang berniat tidak baik terhadap suamiku. Kata ayah, ada lagi ‘benda’ di dalam rumah itu. Ayahku merupakan seorang bomoh tetapi aku jarang mempromosinya. Jika ada orang tahu tu, taulah. Mendengar pesanan ayah itu membuatkan aku jadi takut.

            Setelah hampir dua minggu di hospital suamiku dibenarkan pulang. Aku pula yang sakit. Jalan pun dah herot. Kaki kiriku terpaksa heret. Bengkak semacam aje uratnya. Aku tidak boleh tidur di atas simen tetapi di hospital, itulah tempat yang boleh merehatkan badanku yang penat dan menghilangkan kantukku. Hanya dengan mengalas kain, aku tidur di atas lantai wad bersebelahan katil suami. Begitulah ketika aku menjaga arwah emakku dan ayahku. Kini giliran suamiku pula. Paling teruk ketika aku hendak berjalan ke kantin, rasa macam nak jatuh sahaja kerana kaki kiri terlalu sakit.

            Pernah aku tidak dapat ke kantin. Nasib baik tengah hari itu aku dapat makanan percuma di wad. Hatiku selalu menangis ketika itu kerana rasa menderita. Di sinilah aku selalu berdoa agar suamiku tidak berubah hati suatu hari nanti. Jika dia hendak berubah, kenangkan pengorbanan aku yang bukan sedikit. Umpama menyeksa diri untuk menyenangkan insan lain.

            Di rumah, setiap hari suamiku pergi mencuci kakinya di klinik dengan bantuan anak saudaranya. Dua minggu selepas itu suamiku dimasukkan ke wad semula. Luka di kakinya ditampal dengan kulit pahanya. Doktor yang merawat agak hairan. Biasanya orang yang terkena penyakit kencing manis, dagingnya lambat tumbuh semula selepas daging busuk dibuang. Tetapi suamiku hanya dalam masa dua minggu sudah elok dagingnya dan boleh ditampal. Ramai yang berkata, ada sesuatu yang tidak kena terjadi kepada suami. Apatah lagi dalam keluarga suami ada perselisihan faham tentang geran tanah. Aku tidak ambil peduli kerana itu masalah mereka. Apa yang aku tahu, tapak rumah dan kebun kelapa sawit adalah nama suamiku. Ayahnya yang beri semasa hayatnya. Anak kakaknya ada masalah hutang bank tidak dapat diselesaikan dan meminta emaknya (kakak suami) meminjam geran tanah untuk dicagar kepada bank. Pasti saja suamiku tidak bersetuju. Bimbang tanah tergadai dan dia terpaksa merempat.

            Suamiku hanya tiga hari di wad. Macam biasa, aku setia di sisinya. Dua minggu di rumah, dia ke hospital semula. Kali ini tidak ditahan di wad lagi. Aku segera menelefon ke kampung dan meminta ayah datang pada petang tersebut juga. Dah terlalu sakit hatiku dengar cerita tentang anak saudaraku. Aku bercadang akan menyewa rumah tersebut selepas ayah pulang ke sini.

            Aku terus bertanyakan ayah tentang ‘benda’ yang dia temui di dalam kasut bot tinggi paras lutut kepunyaan suamiku. Kebetulan kasut itulah yang terakhir suamiku pakai sebelum dia terlantar sakit. Dia memakainya untuk ke sungai menjala ikan. Aku ada menegurnya, buat apa dia pakai kasut tu. Ayah menunjukkan benda tersebut yang sudah keras. Kain putih yang bersalut tanag kubur, rasanya kain kapan orang meninggal dunia dan dicucuk dengan tujuh bilah jarum. Ayah ada menunjuk kepada kawannya di kampungku yang juga seorang bomoh. Menurut kawannya, silap hari bulan, orang yang terkena benda tersebut boleh meninggal dunia.

            Selang beberapa hari, suamiku menemui satu lagi benda di bilik air. Aku memang dah sebut awal-awal agar mencari benda yang satu lagi di dalam bilik air. Setiap kali masuk bilik air, aku rasa sejuk dan seram semacam sahaja. Benda tersebut ialah buah nibung yang sudah kering. Menurut ayah, buah nibung bertujuan untuk menjadi anggota reput. Buah itu terselit di tempat yang memang tidak perasan. Ayah bertanya kalau-kalau di sekitar rumah suamiku ada pokok tersebut. Menurut suamiku, pokok tersebut tiada melainkan di tepi sungai.

            Begitulah ceritanya. Kini barang-barang itu sudah dikembalikan kepada yang punya angkara. Bukan hendak membalas tetapi ingin tahu siapa punya kerja. Dia hantar biarlah dia terima semula.

Kawan-kawan, doakanlah keselamatan untuk kami bertiga. Selepas ini entah apa lagi yang terpaksa aku tempuhi.


Posted at 5:18:58 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Monday, January 08, 2007
Diuji Lagi

            Hari tu mak mentuaku sakit. Aku pulak baru sahaja sihat. Dua malam, menjelang subuh badanku menggeletar. Aku jadi sesak nafas. Jantungku seakan-akan berhenti berdenyut secara tiba-tiba. Ketika itu suamiku bertugas malam. Aku memanggil ayah yang juga tidur di tingkat atas, apabila rasa tak tahan lagi. Kebetulan anak saudara lelaki suamiku yang masih bujang bermalam di rumah untuk emenami mak mentuaku. Dia menelefon suamiku agar pulang segera. Selepas aku kembali seperti biasa, giliran emak mentuaku pula jadi seperti aku. Apabila suamiku pulang ke rumah, semuanya pulih.

            Selang beberapa hari selepas itu suamiku pula memberitahu badannya rasa macam hendak demam. Ketika itu itu sudah lewat petang. Kami keluar ke pasar malam Kampung Mur dengan motosikal. Balik dari pasar malam, ketika Maghrib, aku dan suami makan di dapur. Aku makan laksa bersama suami. Tiba-tiba aku merasa ada kelibat hitam melintas di belakang dan menghilang di dalam bilik air. Aku sangka ayah ke bilik air. Aku dengar suara ayah sedang mengalun ayat-ayat suci di tingkat atas. Manakala anak saudara suamiku belum datang lagi. Jadi kelibat siapakah? Semasa aku menoleh dan ternampak kelibat itu, aku sedar suamiku juga menoleh ke arah yang sama. Aku hanya mendiamkan diri.

            Malam itu suamiku demam. Aku sangkakan mungkin kerana dia sejuk akibat berendam lama di dalam sungai sebelah petangnya kerana menjala ikan. Risau juga aku lihat keadaannya. Dia menelefon anak saudaranya minta beli Eno dan 100 plus.

            Esoknya kedua-dua belah kaki suamiku bengkak. Kedua-duanya ada kesan gurisan duri. Yang sebelah kanan lebih panjang gurisannya.

            Malam berikutnya, suamiku berasa sedikit sihat, lalu dia mahu ke tempat kerja. Awal pagi dia menelefon aku menyatakan dia sakit. Balik nanti dia akan singgah di hospital Sg Siput. Lewat pagi dia sampai di rumah sambil mengheret kaki kiri yang bengkak. Doktor yang merawat memberinya Panadol dan ubat pening.

            Malamnya suamiku tidak dapat ke tempat kerja. Dia meminta bantuan kawannya yang merupakan bomoh datang ke rumah. Ada sesuatu yang tidak kena. Aku ni nak tak percaya dan percaya sama banyak. Aku sendiri dah nampak ‘benda’ dalam rumah itu. Apabila kawannya sebut tentang hal tersebut aku pun menyampuk.

            Akhirnya bengkak kaki suamiku menjadi semakin teruk. Dia sudah tidak tahan lagi. Dia pergi ke Klinik Lintang. Pegawai perubatan di situ meminta dia ke Hospital Sg Siput. Doktor di hospital tersebut menyuruh dia segera ke Hospital Ipoh dengan ambulans. Aku pula ikut kemudian bersama anak saudaranya dan ayah dengan kereta kawan anak saudaranya.

            Aku hanya bawa sedikit barang. Sangkaku, aku dapat balik. Bukannya menjaga suami di wad. Menurut suamiku, kakinya akan dibedah pada malam itu juga jadi dia mahu aku berada bersamanya di wad.

            Nak tau cerita seterusnya??? Nantikan sambungannya.


Posted at 9:51:50 am by Saleha_Ahmad
Comments (2)  

Friday, January 05, 2007
Suami Tercinta

Sebelum ini aku sering bercerita tentang Arman. Arman atau Abdul Rahman kini sudah pun bergelar suamiku. kami diijabkabul pada 5 Sept 06 di rumahku. Hanya jamuan kecil dapat aku adakan. Keluarga sebelah pihak suamiku datang dengan sebuah van. Pada 6 Sept 06, aku dan suami pulang ke Sg Siput (U) Perak dengan motosikal. Ayahku ikut bersama keluarga suamiku pada petang selepas ijab kabul. Pada 10 Sept 06, kenduri yang agak besar telah diadakan di rumah salah seorang abang suamiku. Majlis tersebut amat meriah. Terasa seperti pertama kali aku berkahwin. Ramai kawan suamiku tidak menyangka bahawa dia akan berkahwin dengan seorang janda kerana dia adalah anak teruna (bujak). Jodoh di tangan Tuhan. Selepas beberapa hari selesai majlis kenduri, suami bersama ayah dan tiga orang rakannya menaiki lori ke Perlis iaitu ke rumahku untuk mengambil perabot-perabot kesayanganku untuk dibawa ke rumahnya di Perak. Aku tidak benarkan suamiku membeli perabot baru. Semua itu hanya membazir. Kami bahagia tinggal bersama ayahku dan emak mentua. Emak mentuaku terlantar sakit. Tidak dapat bergerak apatah lagi berjalan. Aku menjaganya sebagaimana aku menjaga arwah emakku sendiri sedikit masa dahulu. Ayahku juga kelihatan begitu gembira sejak berhijrah ke sini. Segala kenangan pahit di Perlis, di kampungku dan di rumahku kami tinggalkan di sana. Aku ingin berhijrah dari segala kesedihan yang pernah menyelubungi hidupku. Begitulah hasratku sebelum datang ke Perak. Sehingga ke hari ini aku belum lagi pulang ke Perlis. Rasa seperti tertutup keinginan untuk pulang menjenguk banglo cetusan ideaku itu. Rumah itu kini anak saudaraku yang menjaganya. Aku berhasrat untuk menyewanya pada tahun ini - 2007. Semoga kewhidupanku bersama suami tercinta bahagia dalam rahmat Ilahi.

Posted at 10:39:47 pm by Saleha_Ahmad
Comments (4)  

Thursday, January 04, 2007
CERPEN: PEDIH

Sebuah Cerpen saya yang tersiar di dalam majalah Seri Dewi & Keluarga Jan 2007. Sudilah menatapnya.

-JANGAN cari abang lagi.  Antara kita sudah tiada apa-apa hubungan.  Mulai saat ini, abang bebaskan Ifa dengan talak satu.

            Hampir terlepas telefon bimbit dari genggaman tangan Ifa.  Tanpa tersedar dia meraung.  Terlalu berat penanggungannya ketika itu bila terkenangkan semula perkataan talak yang tertera di skrin telefon bimbitnya.  Semuanya pantas seperti mimpi.  Mimpi ngeri seorang isteri yang diceraikan lelaki bergelar suami.  Terasa gelap alam sekitarnya saat itu.  Terselinap luka yang begitu pedih menghiris naluri seorang wanita yang tidak berdaya.  Air mata yang bercucuran menggambarkan kelukaan paling dalam.  Dia mengulangi membaca SMS tadi.  Seperti tidak percaya.  Dia beristighfar berkali-kali menahan sebak setelah raungannya terhenti.

            “Abang, petang ni Kak Pah nak datang hantar telekung yang Ifa pesan hari tu.  Duit Ifa dah habis.  Abang ada duit tak?”

            “Berapa?”

            Ifa memerhati suaminya yang berdiri di hadapan cermin sambil menyikat rambut.  Alias sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja.  Dia sudah biasa keluar awal.

            “35 ringgit, bang.”

            “Ada tu adalah tapi abang nak balik sana petang ni.  Duit tu nak guna.  Bila Ifa nak bayar balik?”

            Tersirap darah naik ke muka mendengar pertanyaan Alias.  Dia tahu Alias tidak menipunya.  Tadi ketika Alias sedang mandi dia sudah membelek dompet Alias.

            “Amboi, isteri dengan suami pun kena pinjam-meminjam jugak.  Bukannya beratus ribu.  Malu kalau orang tau, bang.”

            “Abang pun nak guna duit tu.”

            Hampir menitis air mata Ifa saat itu.  Selama tempoh perkahwinan mereka yang belum pun menjangkau setengah tahun, dia tidak pernah meminta wang kepada suaminya.

            “Kalau macam tu tak payahlah abang.  Ifa minta duit kat ayah sajalah.”

            “Emm...  Tak apalah.  Abang dah nak pergi kerja ni.”

            Kucupan Alias di dahi Ifa tidak lagi sehangat hari-hari sebelumnya.  Seakan-akan terpaksa sahaja lelaki itu melakukannya.

            -Selama ini hidup abang terseksa bersama Ifa.  Abang sangkakan dapat hidup senang, rupa-rupanya abang mengheret beban.”

            Matanya semakin kabur.  Dia menangis lagi.

            “Raya dah tak lama.  Baju budak-budak tu tak beli lagi.  Lepas tu sekolah nak buka pulak.  Hai pening kepala.”

            “Tulah abang.  Asyik bertukar kerja.  Dah kerja elok-elok dengan bandaran, abang tukar kerja pengawal keselamatan.”

            Ifa hanya memerhati Alias yang berdiri di tepi jendela biliknya dengan ekor mata.  Keluhan lelaki itu terhempas di telinganya.

            “Bila abang cuti? Kita pergi beli baju budak-budak tu.  Ifa ada sikit duit.”

            “Mana ada cuti.  Entah sampai bila kena kerja malam.  Kerja bandaran tu, semua kaki bodek.”

            Ifa memang bersimpati dengan nasib anak-anak suaminya yang hidup melarat.  Anak-anak suaminya sudah dianggap seperti anaknya juga.  Setakat dia terdaya membantu, dia akan cuba membantu.  Itulah niatnya ketika mula-mula menerima Alias sebagai suaminya.  Dia bukan perampas.  Jika dia perampas, tentulah dia tidak akan membenarkan Alias pulang menemui isteri dan anak-anaknya di desa yang jauh terpencil.

            -Abang lebih sayangkan Lina dan anak-anak.  Abang ingin hidup bahagia dengan mereka.  Jangan ganggu aku dan keluarga aku lagi.

            Ayat SMS terakhir itu begitu menghiris naluri perempuannya.  Belum pernah selama perkahwinan mereka, Alias menggunakan perkataan aku.  Dia merasakan ayat itu bukan ditaip oleh Alias.  Mungkin Lina, isteri Alias yang menaipnya.  Dia cuba menghubungi Alias.  Lebih baik bercakap daripada berSMS.  Hanya orang pengecut tidak mahu bercakap.  Kalau boleh dia ingin mengajak Alias berjumpa.  Dia mahu mendengar sendiri lafaz cerai Alias.  Dia ragu-ragu lafaz cerai yang dikirim melalui SMS.  Perkara cerai bukan boleh dibuat main-main atau untuk menggemparkannya.  Alias tidak menjawab panggilannya.

            -Abang dah tak sanggup lagi nak bersandiwara dalam perkahwinan kita.  Cukuplah setakat ini tempoh perkahwinan kita.

            Ya Allah! Dia kata bersandiwara.  Bermakna dia tidak ikhlas mengahwiniku.  Memang benarlah dia berniat untuk mengikis duitku, bisik Ifa dalam hati.

            “Ansuran motor belum bayar lagi bulan ni.” Mata mereka bertentangan.

            “Nantilah hujung bulan ni.  Duit simpanan Ifa dah tak banyak.  Hujung bulan ni baru masuk duit saham tu.”

            Alias yang tadinya berdiri dalam keadaan serba salah, kini melabuhkan punggung di sebelah isterinya.

            “Abang bukannya apa, risau motor tu kena tarik.  Dengan apa abang nak ke tempat kerja?”

            “Alah abang, baru satu notis abang terima dah gelabah.  Masih sempatlah.  Abang tu simpanlah sikit duit gaji untuk bayar motor.  Ni asyik Ifa yang kena bayar.”

            Sudah lama Ifa memendamkan ayat itu.  Hanya kali ini baru terluah.  Itu pun kerana sudah terlalu terdesak dan bosan dengan sikap suaminya.  Apatah lagi memikirkan duit simpanannya yang sudah habis.

            “Gaji abang mana cukup.  Nak sara keluarga di sana tu, ramai.  Sebab tu yang abang minta Ifa bantu.”

            “Abang suruh Ifa kerja untuk bantu anak bini abang di sana.  Kenapa tak suruh Lina kerja atau buat kuih jual?” Kedua-dua belah telapak tangannya diletakkan di bawah kepala.

            Sekali lagi Ifa tersentak apabila nada isyarat SMS masuk.  Dia segera meraih telefon bimbitnya dan membaca.

            -Halalkanlah makan minum abang selama bersama Ifa.  Maaf di atas segala-galanya.

            Terlalu mudah lelaki itu meminta maaf setelah meninggalkan dia bersama benih-benih penderitaan.  Terpaksalah dia menyemai sendirian.

            “Abang nak balik hantar duit kejap.  Esok pagi-pagi abang datang semula.”

            “Sampai hati abang nak tinggalkan Ifa terlantar kat hospital ni.  Abang balik nak berseronok dengan isteri dan anak-anak.”

            Ifa yang terbaring di atas katil di wad itu menangis teresak-esak.  Dia benar-benar sedih.  Kalau suaminya tidak datang menjenguk dia, tiada sesiapa lagi yang akan datang.

            “Jangan cakap macam tu.  Sana pun tanggungjawab abang juga.  Mereka nak guna duit.  Lina kata duit dah habis.” Dia memejamkan mata.

            “Alasan abang nak balik.  Kalau betul abang nak hantar duit, masuk aje dalam akaun Lina.  Sebelum ni boleh abang buat macam tu.”

            Alias serba salah.  Dia tunduk berteleku di tepi katil, di sisi tubuh isterinya.

            “Abang janji, esok abang datang awal.  Abang balik sekejap saja.”

            “Alah kalau dah balik jumpa isteri, main dengan anak-anak, abang dah lupa Ifa terbaring kat sini.”

            Ifa menguak kenangan lamanya itu keluar perlahan-lahan dari ruang lingkup mindanya.

            Perkataan cerai dan talak berlegar-legar di fikirannya.  Dia tunduk merenung perutnya yang semakin membengkak.  Perasaan wanitanya terhiris.  Pilu bergendang di hati.

            Dia sedang mengandungkan zuriat keturunan Alias.  Jatuhkah talaknya yang diceraikan ketika sedang hamil? Air mata merembes disapu lambat-lambat.

            Betapa tidak bertanggungjawabnya lelaki itu.  Dia mengutuk di dalam hati.

            Setelah segala kemewahan diberikannya, dikaut lelaki itu serta anak isterinya tanpa segan-silu, tiba-tiba melepaskan dirinya begitu sahaja.

            “Ifa tengok abang macam tak seronok aje bila tau Ifa ngandung.  Kenapa ni?”

            “Abang dah biasa terima berita isteri ngandung.  Dah tujuh kali.  Masuk dengan yang ni dah lapan kali.”

            “Itu dengan isteri tua abang.  Ni anak dengan Ifa.  Macam nilah nasib kalau kahwin dengan suami orang.”

            Ifa kecewa dengan sikap bersahaja Alias.  Lelaki itu terlalu tinggi egonya.  Tidak pandai langsung untuk mengambil hatinya.  Rasa gembira Ifa mendapat khabar tersebut kian pudar.

            Dia berjanji akan menjaga kandungan dengan sebaik mungkin walaupun tidak mendapat sepenuh perhatian daripada suaminya.

            “Tak apalah kalau abang tak rasa apa-apa.  Ifa berjanji akan curah sepenuh kasih sayang dan berdoa untuk kebahagiaan anak Ifa di dunia dan akhirat sepanjang masa.”

            Deringan telefon rumah mengejutkannya.  Pantas dicapainya gagang.

            Suara yang memberi salam amat dikenalinya.  Suara wanita yang bahagia semula kerana suaminya sudah kembali ke sisinya.  Bersama-sama mengharungi susah senang mungkin.

            “Apa?”

            Suara tangisan wanita yang baru sahaja kehilangan gelaran madu dengannya berselang-seli dengan percakapan.  Cerita yang singkat itu memberi kejutan yang bukan sedikit kepadanya.  Dia beristighfar beberapa kali di dalam hati.

            “Saya minta maaf kerana tak dapat pergi jamin dia.  Saya bukan isterinya lagi.  Saya orang asing dalam hidup dia.  Lagipun duit saya dah habis dia guna.  Maafkan saya.  Saya tak nak tahu apa-apa pun lagi tentang dia.”

            Kali ini bagai ada suatu kuasa yang menjadikan Ifa begitu kuat.  Air mata tidak lagi mengalir.

            Dia sedar doa insan teraniaya begitu cepat diterima Tuhan.  Pembalasan sudah diterima di dunia lagi.

            Alias ditangkap ketika bersama-sama dengan kawan-kawan penagihnya.  Dia bukan sahaja menghisap ganja tetapi juga seorang seorang pengedar.

            Hati Ifa beku untuk sebuah simpati akibat terlalu lama memendam derita.


Posted at 5:38:09 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Wednesday, June 14, 2006
Orang Gaji Aduhai Orang Gaji

3 Jun 2006

Aku bangun macam biasa. Tadi selesai solat Subuh dan menanti terbitnya matahari di celahan bukit nun di hadapan rumahku, aku kembali tidur. Malaikat rahmat pastinya sudah selesai menjalankan tugas-tugasnya menghantar rezeki untuk hari ini. Jam 9 pagi aku bangun. Malam tadi aku sudah berpesan kepada Ti agar memasak mihun goreng jadi tak payahlah ayah keluar membeli sarapan seperti selalu. Ti bersetuju. Keluar sahaja dari dalam bilikku yang berhadapan dengan ruang tamu, aku lihat lantai rumahku bersih disapu. Ruang tamu kelihatan kemas. Langsir diikat kemas ke tepi manakala background dibiarkan sahaja. Seperti selalu kulakukan. Tingkap juga sudah terbuka. Aku berpuas hati.

Aku masuk ke dalam bilikku dan terus ke bilik mandi. Aku berangan-angan hendak makan mihun goreng sebentar lagi. Perutku sudah mula berkeroncong. Selesai mengemaskan diri, aku keluar dan berlalu ke dapur. Ya Allah. Di atas meja makan berselerak dengan kertas pembungkus makanan dan pinggan kotor. Cawan minuman juga di sana sini. Aduh, ada orang gaji apa macam ni. Di dalam sinki pun masih ada pinggan yang belum dicuci. Mulutku terasa ringan sahaja untuk menegur. Namun kelibat ti tidak kelihatan.

Aku mengetuk pintu bilik sakit tempat Ti tidur. Kemudian aku menolak pintu yang tidak berkunci. Ti kelihatan tidur terlentang sambil asyik merokok. Aku mengipas-ngipas hidung kerana tidak tahan dengan asap rokok yang menerpa ke arahku. Lantas kututup pintu dengan muka yang mencuka. Mihun goreng tak ada jadi aku bersarapan dengan roti kering saja.

Aku terus berkurung di dalam bilik komputer. Sengaja aku nak tengok adakah Ti akan menyediakan masakan tengah hari. Jam 12 lebih Ti mengetuk pintu bilikku mengajak makan. Melihatkan ayam masak kicap seperti malam tadi, terus seleraku hilang. Aku masak sendiri apa yang aku teringin nak makan.

Ti meminta untuk meminjam telefon bimbitku. Aku katakan kredit tak banyak. Mat datang. Ti meminjam telefon Mat. Dia menelefon seseorang di Langkawi. Dia menyatakan mahu ke langkawi mengambil anak-anaknya yang berada di bawah jagaan bekas madunya. Bekas suaminya sudah tiga bulan berada di dalam penjara. Aku mulai bimbang. Macam mana kalau dia datang bawa anak-anaknya empat orang dan menumpang di rumahku. Tidak dapat kubayangkan tunggang-langgang rumahku ini jadinya.

Lalu aku mencadangkan agar dia mencari kerja lain terlebih dahulu. Kemudian cari rumah sewa. Akhirnya balik ambik anak-anaknya. Di rumahku, aku tidak perlukan orang gaji. Lagipun bukan senang urusan nak tukar sekolah anak-anaknya yang sedang bersekolah. Namun nasihatku tidak didengarinya. Mat penyokong cadanganku. Dia tetap berdegil hendak balik ke langkawi.

Dengan RM50 dia mahu pulang ke Langkawi? Dia minta untuk pinjam RM100 dari ayah. Ayah tak bagi. Kemudian dia minta nak pinjam RM50. Aku juga cakap tak ada duit. Dia pulang dengan beberapa helai pakaian sahaja. Beg pakaiannya yang besar ditinggalkan di rumahku.

Selepas dia keluar, aku berpesan kepada ayah. Lain kali jangan mudah kesiankan orang dan ajak orang datang bermalam di rumah. Sebenarnya aku juga mewarisi sifat ayah. Cuma sejak aku mengenali Arman, aku jadi berubah. Aku pernah menyuarakan kepada Arman bahawa aku ingin berubah dari sikap mudah simpati dan bersangka baik kepada orang. Kini aku sudah pun berubah.


Posted at 9:03:12 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Tuesday, June 13, 2006
Pilu Berganti Jengkel

2 Jun 2006

Pagi yang sungguh menyedihkan bagi aku. Awal pagi Arman sudahpun mengejutkan aku. Dia ajak aku berbual sambil menikmati sarapan. Ayahku pula seperti memahami, membiarkan kami bersarapan bersama. Aku sering menyapu air mata. Entah kenapa, tak sanggup nak berjauhan dengan dia. Lambatnya menanti tarikh 18 Jun untuk aku ke sana. Arman menyapu titisan air mataku. Maklumlah sudah beberapa hari dia berada di rumahku, terasa sayang untuk berpisah seketika.

Tepat jam 10.30 pagi, Arman bersedia untuk pulang. Dia menghulurkan RM 50 untuk aku simpan atau gunakan. Berat untuk aku mengambilnya memandangkan sudah begitu banyak wang yang dihabiskan Arman ketiak berada di rumahku. Arman memasukkan wang kertas tersebut ke dalam genggaman tangan yang berisi tisu renyuk buat menyapu air mata. Arman menemui ayah yang sedang berbual dengan rakannya di ruang tamu untuk memberitahu dia hendak pulang. Ayah bertanyakan bila dia akan datang lagi.

Aku ketika itu menunggu Arman di luar rumah berdekatan dengan motosikalnya sambil memegang beg pakaiannya dan bungkusan beriri kek dan puding yang kukirim untuk emaknya. Ketika berbual tadi Arman berpesan agar aku jangan menangis di hadapannya ketika dia hendak memulakan perjalanan. Aku tidak mampu. Air mataku terlalu ramah dan murah. Sempat aku tatap mata Arman yang sudah mula menghidupkan enjin. Matanya juga merah.

Aku memerhati Arman berlalu sehingga hilang dari penglihatan. Semasa keluar dari halam rumahku, Arman melambaikan tangannya. Aku berlari masuk ke dalam rumah. Masuk ke dalam bilik dan menguncikan pintu. Sambil membaringkan tubuh di atas tilam, aku menangis semahu-mahunya. Aku akan rasa sepi dan kekosongan tanpa Arman yang menjadi teman bicaraku. Sampai bila aku akan diamuk dan dicengkam kesepian dalam hidup?

Setiap kali tiba di tempat perhentian, Arman akan mengirim SMS atau menelefonku. Aku tidur-tidur ayam sehingga jam 1 tengah hari sambil sesekali ditemani SMs dan panggilan telefon daripada Arman. Bila bangun, aku dapati mataku bengkak.

Jam 5 petang aku menerima SMs daripada Arman yang sudah selamat sampai ke rumahnya. Barulah hatiku ini lega. Aku beritau ayah tentang hal tersebut.

Malamnya ketika aku mengadap komputer, aku dengar di ruang tamu bising dengan suara ayah bertingkah dengan suara wanita dan seorang lelaki muda yang kedengaran dialeknya seperti orang Siam. Suara wanita itu sedikit garang. Mukanya aku sangka Mak Ndak yang datang memprotes hubungan aku dengan Arman. Aku mengendap. Bukan. Wanita yang mengendalikan kedai makan di kampungku yang juga berhutang dengan ayah datang dengan seorang pekerja lelakinya. Mereka bertengkar entah pasal apa di rumahku. Malas aku nak ambik tahu lalu masuk semula ke dalam bilik.

Apabila sunyi sepi, aku keluar semula bertanyakan ayah hendak makan nasi atau tidak. Ayah kata masih kenyang. Beberapa ketika aku dengar suara lelaki muda tadi bersama suara perempuan yang lebih lembut. Aku segera keluar untuk melihat. Perempuan muda yang sebayaku itu juga pernah bekerja di kedai makan tersebut tetapi sudah berhenti dan bekerja di tempat lain. Dia datang bersama beg besar ke rumahku. Katanya dia sudah berhen kerja di tempat barunya. Dia meminta izin dari ayah untuk menjadi orang gaji di rumahku. Ayah terus saja bersetuju. Ayah memang selalu berbual dengan kedua-dua mereka itu kerana ayah merupakan pelanggan tetap di kedai tersebut.

Aku menyuruh dia tidur di bilik sakit yang asalnya stor tetapi sudah kemas. Aku memberikan dia toto sebagai alasa tidur, dua biji bantal dan selimut. Dia terus saja melakukan kerja-kerjanya. Si lelaki itu pula minta nak bermalam di rumahku. Dia memilih untuk tidur di atas sofa di ruang tamu.

Setelah siap memasak dia memnggil kami semua makan. Aku mula berkenalan dengan si lelaki dan perempuan yang bernama Mat dan Ti itu. Mat berasal dari Kota Kinabalu Sabah sementara Ti orang Pendang Kedah. Menetap di Langkawi selepas berkahwin. Dan kini menjadi janja anak empat. Suaminya berkahwin lain. Selesai makan nasi kami berehat di ruang tamu. Hatiku mula jengkel melihat perangai mereka berdua. Mat meminta Ti mengurut badannya yang lenguh-lenguh. Mulutku seakan ringan sahaja mahu menegur. Tetapi aku tahankan. Hasrat untuk mengambil dia bekerja di rumahku mula aku batalkan dalam diam. Apatah lagi setelah melihat dia mengeluarkan sekotak rokok dan pemetik api. Melihat perempuan muda seperti itu merokok sudah hilang rasa hormatku. Aku menjeling ayah sekilas sebagai isyarat mengajak ayah masuk ke dalam biliknya.

Di dalam bilik ayah aku pura-pura mencari kain selimut untuk Mat sambil bertanyakan ayah. Lalu aku katakan kepada ayah, aku tak suka mereka tu. Ayah hanya diam. Aku tau ayah juga terkejut di samping rasa serba salah kerana mempelawa mereka bermalam di rumah.

Malam itu aku terus tutup komputer dan tidur dengan hati yang jengkel. Tidur sementara menanti Arman menelefonku tepat jam 2 pagi. ZZZ...


Posted at 11:03:31 pm by Saleha_Ahmad
Make a comment  

Next Page